Thursday, June 20, 2013

MMI: GURU MENGAJAR MURID BELAJAR...SATU PENGHAYATAN

Konsep MMI (Melindungi Masa Instruksional) yang telah diperkenalkan perlu dihayati sepenuhnya oleh para guru dalam mendidik anak bangsa pada masa kini. Panduan-panduan yang telah digariskan untuk mencapai tujuan MMI tersebut adalah seperti berikut:

1. Keberadaan guru di bilik darjah.
2. Penjadualan waktu PdP
3. Kokurikulum
4. Kepimpinan Instruksional
5. Keberhasilan Murid

Pendekatan Back To Basic ini sebenarnya lebih menekankan kualiti masa guru bersama murid-murid semasa PdP dalam kelas yang bertujuan untuk memastikan murid-murid menguasai kandungan PdP yang diajar oleh guru. Justeru jika guru terpaksa menghadiri kursus atau bercuti disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan, maka guru perlu mencari masa yang sesuai untuk menggantikan masa PdP yang tidak dapat dilaksanakan itu. Guru tidak boleh beranggapan bahawa biarlah kelas itu berlalu disebabkan perlu menghadiri kursus atau ada kerja peribadi yang lebih penting. Para guru perlu lebih peka dan berasa bersalah jika tidak dapat melaksanakan PdP yang dirancang kerana amanah yang dipikul tidak dapat dilaksanakan. Guru-guru tidak boleh menganggap bahawa jika berkursus, kelas tidak perlu diganti kerana menghadiri kursus juga adalah sebagahian daripada tugas. Memang itu benar tetapi kursus yang dihadiri adalah untuk meningkatkan ilmu guru sedangkan murid perlu menerima ilmu daripada guru untuk masa depan mereka.

Guru-guru sewajarnya tidak perlu merungut sekiranya kursus atau program pembangunan profesion keguruan diadakan pada hari cuti sama ada Sabtu atau Ahad. Pihak KPM telah merangka bahawa semua kursus KSSR Tahun 4 dan PBS akan diadakan melibatkan hari Sabtu. Ini bertujuan untuk mematuhi garis panduan MMI dan memastikan murid-murid dapat belajar bersama guru pada hari persekolahan. Ada juga guru yang lebih suka jika kursus dijalankan pada hari bekerja biasa. Kemungkinan guru seperti ini gemar mengadakan kelas gantian kepada muridnya pada hari Sabtu atau Ahad atau tidak digantikan langsung.

Wahai guru sekalian, coretan ini bukan untuk menunding jari kepada mana-mana pihak. Jauh sekali untuk merendahkan martabat guru-guru yang budiman. Hasrat hati hanya ingin membetulkan keadaan. Ingatlah amanah yang dipikul oleh sekalian guru. Jangan perjudikan nasib anak didik kita demi kerana urusan peribadi. Fikirkanlah kepuasan yang bakal dinikmati seandainya semua anak didik yang diajar berjaya menguasai asas literasi dan numerasi dan seterusnya menjadi insan yang berguna kepada keluarga, bangsa, agama dan negara.

No comments:

Post a Comment