Thursday, July 4, 2013

BUDAYA PENYEDIAAN MINIT CURAI

Penyediaan minit curai merupakan satu perkara yang perlu diambil perhatian oleh seseorang pegawai atau guru yang telah menghadiri kursus, mesyuarat, taklimat atau bengkel yang dikelolakan oleh PPD, JPN atau KPM. Penyediaan minit curai tersebut amat penting kerana pihak pentadbir perlu mengetahui perkara-perkara yang didedahkan kepada pegawai yang hadir serta mengambil tindakan terhadap apa yang telah diputuskan dalam kursus, mesyuarat, taklimat atau bengkel berkenaan. Justeru itu, segala arahan lisan serta maklumat-maklumat yang disebarkan kepada pegawai berkenaan dapat disampaikan dengan jelas kepada pihak pentadbir. Sekiranya pegawai yang hadir ke kursus atau mesyuarat tersebut amat proaktif maka minit curai tersebut akan diserahkan seberapa segera kepada Guru Besar atau pegawai atasannya. Tindakan awal pegawai tersebut akan membawa impak yang besar kerana pihak pentadbir atau pegawai yang sepatutnya dapat mengambil tindakan awal terhadap segala yang tercatat dalam minit curai itu. 
     
Bagaimanapun perkara yang tidak sepatutnya telah berlaku selepas Kursus Pendedahan Modul Asas 3 dan Kelestarian Numerasi yang telah diadakan pada 16 hingga 18 Jun yang lalu. Kebanyakan guru numerasi yang hadir tidak menyediakan minit curai kepada Guru Besar dan PK Pentadbiran masing-masing. Implikasinya Pegawai FasiLINUS telah disalahkan kerana mengeluarkan surat memohon penjelasan kepada sekolah-sekolah yang tidak menghantar laporan post mortem Saringan 1 LINUS yang lalu. Kebanyakan Guru Besar mengatakan tiada surat makluman berkaitan penyediaan dan penghantaran laporan tersebut diterima. Ternyata perkara ini dapat dielakkan sekiranya Guru Besar meminta minit curai daripada guru yang telah menghadiri kursus tersebut. Minit tersebut dapat dijadikan bukti bahawa Pegawai FasiLINUS telah memberikan arahan supaya laporan tersebut perlu disediakan dan dihantar oleh Penyelaras LINUS sekolah.
 
Sehubungan dengan itu, pihak pentadbir dipohon supaya membudayakan penyediaan minit curai di kalangan guru-guru supaya segala maklumat yang disampaikan melalui kursus, mesyuarat, taklimat dan bengkel dapat dicakna dan dibentangkan kepada pihak pentadbir dengan lebih jelas dan berkesan. Di samping itu, pentadbir juga wajar menyelidik dengan lebih lanjut tentang maklumat yang disampaikan oleh guru yang telah hadir berkursus supaya tindakan yang diambil tepat dan memenuhi kehendak PPD, JPN atau KPM.    

No comments:

Post a Comment