Monday, July 16, 2012

GURU LINUS HULU PERAK: MENTALITI DAN PERUBAHAN

Kursus Kelestarian LINUS Daerah Hulu Perak 2012 telah berlangsung dengan jayanya pada hari Sabtu, 14 Julai 2012 yang lalu. Kehadiran peserta amat menggalakkan walaupun terdapat 5 orang guru Numerasi dan 2 orang guru Literasi gagal hadir ke kursus tersebut. Kepada yang hadir, tahniah diucapkan kepada anda kerana sanggup berkorban pada hari cuti semata-mata untuk memenuhi kehendak tugas dan amanah sebagai seorang guru.
Namun guru-guru yang hadir sebenarnya bukanlah seperti yang diharapkan. Terlebih dahulu pihak penganjur kursus ingin memohon maaf kerana perlu melaporkan apa sebenarnya yang berlaku. Pertama sekali berkaitan mentaliti guru-guru yang hadir. Hadir bukanlah dengan keikhlasan yang jitu. Datang lewat ,bersembang-sembang semasa taklimat, merokok bukan pada waktunya dan keluar atau balik ke rumah sesuka hati tanpa memberikan sebab yang munasabah amatlah dikesali.
Pihak penganjur faham masa rehat guru-guru terpaksa dikorbankan. Namun hanya sehari sahaja. Bukan tiap-tiap minggu guru-guru perlu berkursus pada hari Sabtu. Ada yang meminta untuk diadakan pada petang hari bekerja. Perkara itu lebih memenatkan guru sebenarnya. Pagi ke sekolah dan petang berkursus. Pasti ramai lagi yang tidak hadir dengan alasan letih. Alasan demi alasan diberikan jika guru tidak ikhlas dalam menjalankan amanah sebenar sebagai seorang guru. Bagi yang muslim, kerja adalah ibadah dan setiap titik peluh itu dinilai akan halal dan haramnya, maka para guru sekalian fikir-fikirkanlah kesannya kepada kehidupoan kita.
Perkara kedua ialah tidak memberikan tumpuan semasa kursus. Jika dalam kelas para guru amat marah jika murid tidak memberikan perhatian tetapi guru sendiri yang melakukannya semasa berkursus. Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana apa yang berlaku ibarat ketam mengajar anaknya berjalan betul.
Perkara terakhir berkaitan semangat kerja berpasukan semasa perbengkelan. Terdapat ahli kumpulan yang sewenang-wenangnya keluar meninggalkan dewan dan membiarkan ahli-ahli yang lain menyelesaikan tugasan dan menyediakan bahan untuk pembentangan. Hal ini amat dikesali kerana sebagai guru, semangat kerjasama perlu tebal dalam diri guru-guru untuk memastikan perkongsian idea berlaku dalam mendidik anak-anak bangsa di Daerah Hulu Perak.
Rumusannya, segala laporan berkaitan kursus ini akan dipanjangkan kepada pihak atasan. Hal-hal yang berkaitan sikap dan tingkah laku guru semasa kursus tersebut akan dibentangkan kepada semua Guru Besar dalam mesyuarat akan datang.
Diharapkan agar semua guru LINUS di Daerah Hulu Perak melakukan perubahan dalam gaya berfikir dan lebih mementingkan profesion keguruan daripada diri sendiri ke arah memartabatkan pendidikan di Daerah Hulu Perak ini.

No comments:

Post a Comment