Kem LINUS Tegar yang telah dijalankan di SK RPS Banun pada 19 - 22 September yang lalu tidak mencatatkan kehadiran 100% murid LINUS Tegar Orang Asli. Daripada 65 orang yang sepatutnya hadir, cuma 13 orang murid LINUS Tegar sahaja yang datang. Selebihnya tidak hadir atas alasan tidak mendapat kebenaran daripada ibu bapa. Sememangnya alasan itu berasas kerana jika difikirkan secara logik, masyarakat Melayu pun sukar untuk membenarkan anak-anak yang baharu berusia 8 tahun untuk berada jauh daripada keluarga. Tambahan pula perjalanan daripada RPS Kemar dan Sungai Tiang perlu menaiki bot dengan keadaan cuaca hujan lebat menyebabkan ibu bapa mana yang sanggup menghadapi risiko untuk membenarkan anak-anak mereka keluar daripada rumah. Itu merupakan faktor yang tersurat pada pandangan mata kasar.
Sebenarnya terdapat kisah lain yang perlu dirungkaikan dengan lebih mendalam sebenarnya yang merupakan faktor utama ketidakhadiran murid-murid ini ke SK RPS Banun. Masalah sebenar yang berlaku ialah perbezaan suku kaum dan budaya masyarakat orang Asli itu sendiri. Pendek kata wujud perbalahan dan salah faham antara kaum Orang Asli itu sendiri. Penduduk di RPS Kemar dan Sungai Tiang terdiri daripada suku kaum Temiar manakala di RPS Banun merupakan suku kaum Jahai. Perbezaan budaya antara suku kaum ini perlu difahami dengan lebih jelas supaya tiada pihak yang akan mempertikaikan kenapa program LINUS ini sukar dilaksanakan di Daerah Hulu Perak terutama murid Orang Asli.
Semua pihak perlu faham bahawa suku kaum Temiar mudah menerima perubahan dan suka kepada apa jua kemajuan yang dijalankan kepada diri dan kawasan penempatan mereka. Malah mereka rajin bekerja dan mencari rezeki secara sukarela tanpa mengharapkan subsidi semata-mata. Berbeza dengan suku kaum Jahai yang tidak suka kepada perubahan dan hanya tahu meminta makanan diberikan kepada mereka. Tiada usaha yang dilakukan untuk mendapatkan makanan walaupun telah diajar untuk menanam ubi kayu tetapi tidak berjaya. Kesedaran masih belum segar di fikiran suku kaum Jahai ini. Mungkin ada cuma masa yang bakal menentukan bila mereka akan berubah. Mereka asyik dengan hiburan dan kehidupan yang menjanjikan rezeki disuap ke mulut sahaja.
Perbalahan di antara kedua-dua suku kaum ini juga menyebabkan ibu bapa murid-murid RPS Kemar tidak membenarkan anak-anak mereka ke SK RPS Banun. Pada mereka suku kaum Jahai merupakan musuh. Ini kerana suku kaum Jahai bersikap suka 'pemusnah' (vandalisme). Mungkin benar kerana persekitaran SK RPS Banun dilihat penuh dengan contengan pada dinding dan bahan-bahan yang ditampal pada papan kenyataan dikoyak dengan sewenang-wenangnya.
Persoalannya kini, pihak manakah yang perlu mengambil tindakan supaya berlaku perubahan di kalangan murid Orang Asli ini dalam menerima pembaharuan dan ilmu pengetahuan bagi mengatasi keciciran masyarakat asal tanah air ini dalam dunia perkembangan teknologi kini?
Apakah bebanan itu harus dipikul oleh Kementerian Pelajaran semata-mata atau pihak JAKOA juga perlu memainkan peranannya sebagai satu jabatan yang dekat di hati Orang Asli?
Atau sesiapa sahaja yang berasakan dia boleh mengubah mentaliti masyarakat Orang Asli ini?
Atau bisakah seorang guru biasa yang berusaha secara luar biasa di kawasan penempatan Orang Asli di Hulu Perak yang akan berjaya mengubah keadaan masyarakat Orang Asli agar lebih maju dan menerima segala perubahan yang datang dengan hati yang terbuka?
No comments:
Post a Comment