Wednesday, July 6, 2011

BUKAN ISU DAN MASALAH TETAPI APA PROGRAM YANG DIBUAT UNTUK MENINGKATKAN PENGUASAAAN LINUS

Bulan Julai telah tiba dan Saringan 2 dan 5 LINUS untuk lisan telah pun bermula. Saringan bertulis bakal menjelma tidak lama lagi. Pihak sekolah terutamanya pentadbir dan guru LINUS khususnya tidak perlu lagi mengemukakan sebarang isu dan masalah pada saat dan ketika ini. Semua pihak yang terlibat dalam program LINUS kini hanya ingin mengetahui apakah program/aktiviti yang telah dijalankan oleh pihak sekolah untuk menghapuskan masalah buta huruf dan nombor di sekolah masing-masing. Pihak yang memantau tidak lagi ingin mendengar rintihan, keluhan dan sebagainya daripada pihak sekolah. Yang ingin diketahui ialah perancangan sekolah bagi meningkatkan penguasaan murid dan impak daripada program yang telah dijalankan itu sama ada berjaya atau tidak membantu murid LINUS.
Di samping itu juga, pihak sekolah sepatutnya peka terhadap murid LINUS TEGAR Tahun 2 yang masih ada di sekolah. Kewujudan murid tersebut menimbulkan tanda tanya kerana mengapa setelah lebih 18 bulan belajar, murid-murid tersebut masih belum mengenal huruf dan angka. Sehubungan dengan itu, pihak sekolah perlu mengambil langkah yang sewajarnya terhadap perkara ini. Sekiranya murid tersebut mengalami masalah kesihatan, perlulah disediakan dokumen-dokumen yang sepatutnya. Tidak wajar hak murid untuk menguasai literasi dan numerasi dinafikan hanya kerana faktor bangsa, sosio-ekonomi dan latar belakang keluarga.
Secara ringkasnya, pihak pentadbir sekolah selaku frontliner diharap mengambil berat tentang pelaksanaan aktiviti LINUS di sekolah. Sekiranya frontliner kurang prihatin maka apatah lagi golongan backliner. Semoga dengan kerjasama semua pihak masalah LINUS dapat ditangani dengan sempurna.

No comments:

Post a Comment